Friday, October 24, 2008

Persatuan Badminton Bumiputra Sarawak

Semalam aku pergi bermain badminton di dewan badminton Persatuan Badminton Bumiputra Sarawak Semariang. Lepas main aku duduk sembang di kantin dengan teman-teman dan beberapa orang pemain lain yang berada di situ.

Dalam bersembang-sembang, aku pun tanya apa kelebihan kalau jadi ahli persatuan? Setelah soalan demi soalan aku tanya, kesimpulannya aku pun tak tahu apa kelebihan menjadi ahli. Bayaran sewa gelanggang masih sama, kalau persatuan anjurkan pertandingan yuran masih sama untuk ahli dan bukan ahli, ahli tidak diberikan coaching percuma atau apa-apa aktiviti, pendek kata aku pun tak tahu mengapa persatuan ni ditubuhkan.


Kalau dah bawak nama bumiputra tu, seharusnya besar jugaklah tanggungjawab. Sepatutnya bantulah bumiputra kita agar maju dalam sukan badminton ni. Berikan pendedahan, coaching, klinik sukan dan macam-macam lagi.


Keadaan kantin pun kelihatan agak teruk dan tidak terurus. Aku dengar dari mula bukaknya dewan badminton tersebut sampailah sekarang, pengusaha yang uruskan kantin tu masih orang yang sama. Tak hairanlah keadaan kantin semakin hari semakin teruk, pengusaha-pengusaha lain tidak diberikan peluang untuk mengendalikan tempat tersebut. Apabila tiada saingan inilah kejadiannya. Sepatutnya hak untuk mengusaha kantin tersebut dibuka kepada ahli-ahli lain yang ingin mengusahakannya. Barulah kualiti kantin dapat diperbaiki dan aliran tunai persatuan juga bertambah baik. Sekarang ni pengusaha kantin dah jadi bendahari persatuan, habislah kantin tu, memang sambung sampai anak cucu punyer.


Pengurus dewan pun sama jugak, dari dulu sampai sekarang orang yang sama. Macam-mana persatuan nak berkembang? Bagaimana nak perolehi idea-idea bernas serta strategi-strategi baru untuk persatuan. Aku bukannya apa, kalau tak guna nama bumiputra aku tak kisah. Ini dah bawak nama bumiputra tu, buatlah betul-betul. Segala aktiviti, kejayaan mahupun kegagalan persatuan mencerminkan seluruh masyarakat bumiputra di Sarawak.


Setidak-tidaknya jalankanlah aktiviti-aktiviti yang mencerminkan kemampuan masyarakat kita berpersatuan. Tujuan kita berpersatuan adalah untuk menguatkan lagi kemampuan kita dalam sesuatu bidang. Bak kata perpatah, "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Dengan adanya persatuan, yang kuat dapat membantu yang lemah dan yang lemah dapat memperkuatkan dirinya. Akhirnya kita dapat lahirkan semua ahli yang kuat.


Aku cadangkan agar PBBS mencari jalan agar dapat menarik minat masyarakat bumiputra kita untuk menceburkan diri dalam arena sukan badminton ini. Kantin tersebut seharusnya dapat menjanakan setidak-tidaknya sedikit wang untuk membantu persatuan. Persatuan juga boleh membuka kedai sukan di dewan untuk kemudahan mereka yang bermain, di samping mewujudkan peluang kepada pengusaha kedai sukan bumiputra untuk bertapak di situ. Dengan wang yang diperolehi nanti bolehlah persatuan memberi elaun kepada bakat-bakat baru yang terpilih sebagai galakkan untuk mereka menceburkan diri dalam sukan badminton.


Aku harap pihak yang berkenaan akan mengambil perhatian terhadap hal ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Ini kerana aku lihat golongan bumiputra kita ramai yang mempunyai bakat namun tiada yang benar-benar ingin membantu. Jika benar-benar dicari dan digilap aku yakin ada Misbun yang kedua di bumi kenyalang ini.