Sunday, September 21, 2008

Rampasan Mercun



Hari raya tak lama lagi akan tiba jadi tak hairanlah kalau kita tengok orang main mercun dan bunga api. Namun yang menghairankan aku ada jugak rampasan mercun yang berlaku ketika menjelang hari raya ni. Aku bukan cakap rampas mercun menjelang raya ni salah atau menentang rampasan tu. Tapi kenapa masa tahun baru Cina tak ada pulak aku dengar berita rampasan besar-besaran yang dilakukan.

Aku rasa dalam 3 tahun kebelakangan ini, masa perayaan tahun baru Cina, ketika detik 12 malam, aku lihat mercun dan bunga api yang dimainkan bukan main banyak lagi. Seperti aku yang tinggal di Kuching ni, dari rumahku yang boleh lihat seluruh bandaraya Kuching, aku perhatikan mercun dimainkan di semua kawasan. Kalau main dalam 2 ke 3 minit tu aku tak kisahlah. Ini sampai satu jam. Bukankah kerajaan Malaysia dah haramkan kemasukan mercun dalam negara ni? Aku kira-kira kalau ikut jumlah keseluruhan dan tempoh mercun-mercun itu dimain, nilainya tak kurang dari RM2 juta. Mana perginya pegawai kastam kita ketika perayaan tersebut? Kalau nak bawa mercun sebanyak itu masuk ke negara ni, sekurang-kurangnya guna kontena. Bagaimana boleh terlepas dari pegawai-pegawai kastam kita? Takkan ada kilang mercun pulak kat negara ni? Kalau ada memang logik jugak boleh dapat mercun sebanyak tu.

Realitinya ada masalah disebalik kejadian ini, namun tiada yang prihatin terhadapnya. Pihak kastam dan pihak polis yang sepatutnya menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan mercun ni tidak manjalankan tugas mereka dengan sebaik-baiknya. Agak mustahil untuk tidak melihat dan mendengar mercun-mercun tersebut. Namun sama ada tidak sedar ataupun berasa itu bukan tanggungjawab mereka, mereka membutakan mata dan memekakkan telinga setiap tahun.

Setiap kali aku lihat mercun dimainkan ketika malam perayaan tahun baru Cina aku rasa setiap letupan bunyi dan percikan bunga api itu seolah-olah mengejek dan menghina sistem perundangan negara kita. Betapa mudahnya undang-undang kita dibengkokkan oleh wang ringgit. Dimanakah maruah kita sebagai sebuah negara yang mempunyai undang-undang?

Thursday, September 18, 2008

Streamyx oh Streamyx



Dah lebih seminggu aku punya streamyx kena potong. Sekarang kena pulak pegi cyber cafe untuk post blog nih. Aku pun hairan, tiap-tiap bulan aku tengok dalam online bil aku ok je bayaran. Tapi tetiba bulan ni dia orang cakap aku ada balance sebanyak RM8++. Pelik betul.. dah la aku tak simpan pun resit pembayaran yang lama-lama tu dan tak print jugak bil-bil online yang aku dah bayar. Kes-kes macam ni la yang aku tak suka. Mengganggu akses aku ke dunia tanpa batasan nih. Kalau nak potong line streamyx ni, bukannya aku ada pilihan lain. Mungkin sebab ni la pengguna tak dapat bersuara pasal servis pihak streamyx. Mahu tak mahu kena jugak pakai servis mereka. Pengalaman aku dah macam-macam dengan pihak streamyx ni. Buat report sampai berkali-kali pun ada, tak jugak ada technician yang datang. Sampai habis credit aku guna untuk call. Dari dulu hingga sekarang servis tak improve-improve, yang improve aku rasa kaunter tempat bayar bil je. Inilah yang terjadi apabila tiada saingan dan monopoli perkhidmatan berlaku. Mangsanya pengguna. Nak komplain mana-mana pun tak guna jugak. Harapan aku untuk menjamin kualiti perkhidmatan internet di negara kita, akan wujud sebuah syarikat baru yang setara dengan stremyx ini dalam masa terdekat. Ini kerana sekarang kualiti perkhidmatan internet merupakan sesuatu yang perlu dititikberatkan memandangkan internet digunakan untuk pelbagai perkara seperti perniagaan, komunikasi, sumber informasi dan banyak lagi.

Thursday, September 11, 2008

Isu MARA



Sempena bulan Ramadhan MARA Kuching telah menyediakan sebuah bazar Ramadhan untuk peniaga-peniaga kuih dan lauk-pauk di Plaza Astana, Petra Jaya. Namun setelah seminggu lebih dibuka sambutan orang ramai dan para peniaga amat dingin. Setiap hari jika hendak dibandingkan bazar tersebut dengan bazar-bazar lain di Kuching, suasananya macam langit dan gunung Santubong. Mengapa? Soalan yang harus ditanya dan dikaji oleh pihak MARA. Sepanjang pengamatan dan pengalaman aku, selama ini MARA jarang membantu peniaga-peniaga yang benar-benar memerlukan bantuan. Mereka hanya membantu peniaga-peniaga yang mempunyai account statement yang baik, ada aset yang banyak dan dah ada premis. Tapi mampukah si penjual kuih atau penjual lauk menyediakan benda-benda seumpama itu?

Aku tidak menyalahkan sepenuhnya pihak MARA sebab mereka hendak menjamin pulangan bantuan mereka. Tapi kalau hendak jamin pulangan pinjaman atau menjamin sewa dibayar bulan-bulan, lebih baik jangan jadi MARA, jadi along ke?atau jadi bank je terus.

Cuba kita ingat balik objektif utama penubuhan MARA 1966:
"Objektif utama penubuhan MARA adalah untuk menambah dan meningkatkan penyertaan kaum Bumiputera dalam kegiatan perdagangan dan perindustrian serta meningkatkan taraf ekonomi dan sosial Bumiputera sejajar dengan Dasar Ekonomi Baru."

Jika kita baca objektif yang telah di highlightkan, tujuan MARA adalah untuk menambah dan meningkatkan penyertaan, tapi sekarang kebanyakkan bantuan kewangan aku lihat hanya membantu syarikat-syarikat besar. Ini bukannya menambah peniaga bumiputra, ianya hanya membesarkan syarikat-syarikat yang sebenarnya mampu membuat pinjaman di institusi perbankkan yang lain. Apabila ini berlaku, terciptalah ruang perbezaan yang besar diantara peniaga tepi jalan dan peniaga korporat.

Sepatutnya bantuan kewangan disalurkan kepada peniaga-peniaga kecil, tidak mempunyai modal dan individu-individu yang berminat untuk menjadi peniaga. Barulah dapat menambah bilangan bumiputra yang bergiat dalam perniagaan. Sekarang kursus-kursus bagi dekat peniaga kecil, duit juta-juta bagi dekat peniaga korporat. Pernah jugak aku dengar alasan pegawai MARA yang menyatakan mereka serik peminjam-peminjam tak bayar balik pinjaman dan sekarang peminjam perlu ada cagaran seperti tanah dan sebagainya. Kalau MARA dah serik nak bantu, siapa lagi nak bantu wujudkan peniaga-peniaga bumiputra? dan kalau peniaga-peniaga kecil dah ada tanah baik cagar dekat bank je.

Penyelesaiannya, kalau dah beri pinjaman kepada peniaga-peniaga kecil, bimbinglah mereka dalam menjalankan perniagaan. Punca kegagalan membayar balik pinjaman adalah kurang pengetahuan dan pengalaman mengenai perniagaan tersebut. Bukannya orang kita sengaja tak nak bayar. Seharusnya bimbingan diberi oleh pegawai-pegawai MARA, tapi disebabkan pegawai MARA itu sendiri bukan peniaga yang asli dan kerja makan gaji, mereka tidak mampu untuk memberi bimbingan dan nasihat. Pernah aku hadiri kursus keusahawanan MARA dimana speaker-speakernya adalah pegawai-pegawai MARA sendiri. Tolonglah, kalau sendiri pun jalan senget, macam mana nak ajar ketam lain jalan lurus? Mereka hanya cakap berdasarkan apa yang mereka baca tanpa mengalami situasi sebenar dunia perniagaan. Baik dengar cakap kakak yang jual mee goreng tepi jalan, bagi aku itu baru pengetahuan sebenar tentang berniaga.

Jadi kepada pihak MARA jangan hairanlah bazar Ramadhan yang disediakan tidak mendapat sambutan. Pihak MARA harus kaji balik objektif dan strategi baru untuk MENAMBAH DAN MENIGKATKAN PENYERTAAN KAUM BUMIPUTRA ke bidang perniagaan. Dan kalau buat kursus tu, janganlah guna pegawai MARA untuk jadi speaker, biarlah bayar lebih sikit untuk cari peniaga-peniaga yang berjaya untuk berikan ceramah. Di saat ini kita sememangnya memerlukan lebih ramai peniaga-peniaga bumiputra untuk mengukuhkan lagi kedudukan bangsa kita di Malaysia.

Wednesday, September 10, 2008

Kanak-kanak dipergunakan 2

Hari ini ada lagi aku terserempak dengan budak jual kalender dekat Stesen Petronas Jalan Kulas Kuching. Hari ni sorang je budak pompuan bertudung tu. Entah dari mana dia datang, tetiba je muncul masa aku isi minyak kereta.

Aku tengok takde la pulak van buruk dekat kawasan tu, jadi aku interview la budak tu, dulu dia cakap dari Jabatan Kebajikan, aku check dengan orang jabatan kebajikan dia orang cakap takde dia orang organize benda-benda macam tu. Hari ni budak tu cakap dia dari rumah anak yatim la pulak. Macam-macam. Aku cakap bukan hari tu cakap Jabatan Kebajikan ke? Dia dengan nada perlahan minta simpati cakap tak. Dia cakap dari rumah anak yatim. Jadi aku tanya lagi, rumah anak yatim Laila Taib ke? Dia jawab tak jugak. Dia cakap dari rumah anak yatim Sabah. Tapi dari percakapannya, bunyi macam orang semenanjung je. Orang Sabah atau Sarawak slang dia lain sket. Aku terus tak percaya budak tu. Bukannya aku tak kesian tapi kalau kita bagi jugak duit, nanti kerja ni akan berlarutan. Ertinya kita menggalakkan kanak-kanak dipergunakan seumpama ini.

Aku harap ada pihak yang memantau aktiviti ini dan kalau benar mereka dari rumah anak yatim, sediakanlah tempat dan saluran yang sesuai untuk mereka menjual produk-produk mereka. Janganlah biar mereka merayau-rayau di jalanan. Jika benar ini satu penipuan, kita harus lebih prihatin dan janganlah mudah terpedaya dan menyokong aktiviti-aktiviti seumpama ini. Sebilangan orang mengambil kesempatan ke atas rasa kesian dan simpati kita terhadap budak-budak ini.

Tuesday, September 9, 2008

Astro



Kebelakangan ini aku tengok Astro kita ni terlalu banyak iklan. Kejap-kejap stop iklan. Tension jugak aku tengok iklan bebanyak sangat. Dahla service kita kena bayar bulan-bulan. Naik pulak charges tu sekarang. Waktu hujan tak dapat pulak tengok apa-apa. Rancangan pun ulang-ulang entah berapa kali entah. Asal aku tengok je cerita tu, malam sket aku tengok cerita tu balik, kemudian pagi ada balik cerita tu. Berapa banyak kali ulang daaaa....



Even aku dengar sebilangan orang cakap, menyamakan Astro ni dengan selalu berulang-ulang. Kalau ada orang cakap "Kau ni Astro lah.." terjemahannya "Berapa kali ko nak ulang cerita yang sama?"



Aku rasa Astro tu kalo congak-congak guna jari, banyak jugak dah untung. Tapi kualiti tu improve la jugak. Jangan banyak sangat jual iklan dan cubalah siar cerita-cerita bervariasi jugak.

Sunday, September 7, 2008

Tak patut memandu

Hari ini ketika memandu balik ke rumah. Aku terserempak dengan sebuah kereta lama yang memandu ke kiri dan ke kanan seperti dipandu oleh orang mabuk. Pemandu tersebut memandu dengan amat perlahan seakan-akan tidak sedar akan kereta-kereta lain disekelilingnya. Banyak kereta yang bersusun dibelakangnya kerana terlalu bahaya untuk memotong kereta tersebut. Setelah lama mengekori akhirnya aku berjaya memotong kereta tersebut. Apabila kulihat pemandunya, aku terkejut melihat seorang tua yang berusia lebih kurang 70-an dan pada pendapat aku tak sepatutnya memandu pada usia tersebut. Kerajaan kita sepatutnya mempunyai undang-undang yang menggariskan had umur bagi seorang pemandu. Pemandu-pemandu kenderaan yang terlalu tua boleh membahayakan pengguna jalanraya yang lain. Pernah aku terbaca dahulu di Australia ada seorang warga tua yang memandu dan merempuh sebuah sekolah tadika mengakibatkan kanak-kanak mati dan cedera parah. Tak kan lah kita nak tunggu kes-kes seumpama ini berlaku baru nak fikir.

Thursday, September 4, 2008

Kanak-kanak dipergunakan

Hujung minggu lepas aku keluar jalan-jalan cari makan. Ketika aku melintas dari Wisma Satok ke Bank Islam aku di sapa oleh dua orang kanak-kanak perempuan yang memegang segulung kertas di tangan. Setelah aku berhenti, mereka pun mula menjelaskan bahawa mereka hendak jual kertas kalendar yang mereka pegang dengan harga RM10 atas nama jabatan kebajikan. Mula-mula tergerak juga hati nak bagi je duit untuk bantu mereka. Namun kemudian aku perasan ada sebuah van buruk yang parking berhampiran. Terdapat dua orang pemuda yang mundar-mandir disebelahnya. Aku pun rasa syak dan mula berfikir, mana ada jabatan kebajikan yang benarkan kanak-kanak bekerja jual kalendar pada hari Ahad? Tanpa pengawasan? dan di kaki lima di tepi jalan? Sekurang-kurangnya ada logo jabatan ke? ada booth ke? Kemudian aku interview lah budak-budak perempuan tersebut. Bila aku tanya macam-macam, budak-budak tu tak dapat jawab. Kemudian 2 orang pemuda itu pun semakin menghampiri dan aku berasa khuatir. Jadi aku teruskan saja perjalanan aku dan mungkin aku akan siasat perkara ini dikemudian hari. Jika benar kanak-kanak ini dipergunakan oleh sindiket ini, pihak atasan sepatutnya mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu mereka. Kita tak boleh biarkan perkara ini berlaku di depan mata kita tanpa berbuat apa-apa. Aku akan update perkara ini dalam posting blog yang akan datang. Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat diminta memberi komen.