Sunday, September 28, 2008

Peras Ugut Di Kuching?

Beberapa hari lepas aku terbaca satu aduan pemuda dari Kuching yang menyatakan bahawa para pengusaha kedai Kubah Ria yang terletak di bawah jambatan Satok diugut setiap bulan untuk membayar sehingga RM150 sebuah kedai. Wang ini dibayar sebagai wang perlindungan untuk kedai mereka.

Hal ini amat mengejutkan kerana ini menunjukkan budaya gengsterism semakin berleluasa di Kuching. Budaya seumpama ini, walaupun sudah diamalkan sejak berkurun-kurun lamanya, tapi ianya harus dikekang dan dibasmi agar ianya tidak menjadi seperti penyakit di dalam komuniti masyarakat kita.

Setelah melakukan beberapa kaji selidik menerusi internet, aku dapati wujudnya budaya gengsterism ini mencerminkan ekonomi yang teruk dan kerajaan yang lemah. Apabila tiada pekerjaan yang mencukupi di dalam sesebuah negara, masyarakat akan mula menjadi kreatif untuk menampung kehidupan harian mereka meskipun mereka terpaksa melanggar undang-undang untuk berbuat demikian. Seperti di Jepun yang dulunya terkenal dengan Yakuzanya, sekarang pemuda-pemuda Jepun lebih gemar mendapatkan pekerjaan daripada menjadi seorang Yakuza. Kajian di Amerika juga menunjukkan gengsterism kebanyakkannya tertumpu di kawasan-kawasan miskin. Seperti di Singapura pula, gengsterism wujud pada era 80an sahaja dan apabila negara semakin maju budaya tersebut serba sedikit menghilang.

Tidak dapat dinafikan gengsterism atau jenayah terancang juga berlaku di negara-negara yang berekonomi baik, namun corak serta agenda jenayahnya berbeza sama sekali. Ianya hanya untuk menunjukkan perasaan tidak puas hati mereka dan bukannya untuk menampung kehidupan. Secara logiknya jika keperluan dan kehendak harian kita mencukupi, siapalah yang sanggup untuk mengambil risiko menjadi seorang gengster. Apabila jenayah dilakukan untuk mencari sesuap nasi, ketika itulah bahaya akan mula timbul kepada masyarakat.

Oleh itu tindakan tegas dan pantas harus dilakukan untuk membendung budaya ini. Memperbaiki ekonomi, mendidik masyarakat berilmu dan membuka banyak peluang perkerjaan adalah di antara usaha-usaha yang boleh dilakukan. Masyarakat juga harus membuka mata dan rajin berusaha kerana bagi membendung budaya ini, pihak kerajaan dan masyarakat perlu sama-sama memainkan peranan masing-masing bagi kebaikan bersama. Perbalahan sesama sendiri harus dielakkan bagi menjamin pentadbiran kerajaan yang kukuh.

No comments: